Pemenang Falken “Win a trip to Liverpool” Mendapat Habuan Mereka

Stamford Tyres Malaysia bersama-sama Sumitomo Rubber Asia (Tyre) Pte Ltd telah menganjurkan peraduan “Win a trip to Liverpool” yang telah diadakan bermula dari 1 Mac hingga 31 Ogos 2018 di mana hadiah utamanya berupa trip menonton perlawanan bola sepak secara langsung pasukan Liverpool FC di Stadium Anfield. Sebanyak 4 orang yang bertuah akhirnya telah dipilih menjadi pemenang hadiah utama ini.

Kesemua mereka telah berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada 13 Disember 2018 dan telah sampai ke Manchester pada 14 Disember. Dari situ, mereka di bawa ke Liverpool menggunakan kenderaan MPV yang telah disediakan.

Mereka semua telah dibawa ke Liverpool Pier Head Terminal bagi menebus baucar penjelajahan. Setelah selesai menebus baucar, mereka semua telah dibawa merasai pengalaman menaiki bas ‘Hop-on & Hop-off’. Antara tempat-tempat menarik yang dilawati oleh mereka adalah seperti Liverpool Cathedral, Cavern Quarter, Philhamonic Pub, muzium dan banyak lagi yang ada disekitar Liverpool. Kemudian, mereka turut dibawa menaiki Mersey Ferry menyusuri laluan air bagi menikmati pemandangan sepanjang perjalanan yang dilalui.

Hari ke-3, setelah bersarapan di hotel, mereka melakukan aktiviti bebas. Ada yang bersiar-siar melihat kawasan sekitar dan ada juga yang tidak melepaskan peluang untuk membeli belah kerana keesokkan harinya mereka perlu bersiap sedia untuk menyaksikan perlawanan yang dinanti-nantikan.

Hari ke-4, selesai sahaja makan tengah hari, mereka berkumpul di ruangan lobi hotel penginapan untuk dibawa ke Stadium Anfield. Mereka telah dibawa menjelajah ke seluruh pelusuk stadium tersebut sebelum menyaksikan perlawanan di antara Liverpool dan Manchester secara langsung di depan mata mereka. Apa yang membanggakan adalah perlawanan pada hari tersebut telah dimenangi oleh Liverpool dengan keputusan Liverpool FC 3 dan Manchester United 1. Ini merupakan sesuatu yang sangat indah bagi mereka kerana pasukan Liverpool FC telah menunjukkan prestasi sangat hebat sepanjang perlawanan.

Keesokkannya, mereka telah bersiap-siap untuk ke Manchester sebelum berlepas pulang ke tanah air. Kesemua mereka amat berterima kasih kepada pihak Stamford Tyres dan Falken Tyres Malaysia kerana telah memilih mereka sebagai pemenang serta memberi peluang untuk menyaksikan sendiri perlawanan pasukan Liverpool secara langsung di depan mata mereka. Ini merupakan satu pengalaman hebat bagi diri masing-masing yang mungkin tidak dirasai oleh orang lain.